Thursday, 1 December 2016

Mengapa Masakan Ibu Paling Sedap?


Jika ditanya masakan paling sedap yang pernah dimakan. Sudah tentu orang akan menjawab masakan ibu! Realitinya pun begitu.

Rindu masakan ibu yang paling sukar ditandingi. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya namun masih tidak dapat menandingi masakan ibu. Biarpun sekadar ikan bilis dan telur goreng sebagai mata lauk.

Mengapa?

Kata orang, itulah penangan 'air tangan'. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakkannya melibatkan sentuhan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut' bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak? Benarkah begitu? Hakikatnya, bukan itu sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah 'air' dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan 'air tangan'. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah kasih sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih-sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk 'mendapat' tetapi untuk 'memberi'. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk 'memberi' kasih-sayang kepada anaknya, berbanding seorang 'chef' yang memasak atas dorongan ganjaran komersial.

Realitinya, 'air tangan' inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah saw agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya:
"Bahawasanya Allah s.w.t suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya."

sumber : http://www.iluvislam.com

No comments:

Post a Comment